MANTAN PEMIMPIN UMNO/BN PERGUNA RAKYAT
Beberapa calon pembangkang dalam PRU-14, hanya mempergunakan rakyat untuk mendapatkan semula kedudukan mereka yang hilang.
Mereka tidak sedar, bahawa nama dan kedudukan mereka itu satu masa lalu kerana parti Umno/Bn.
Oleh kerana, tiada sifat berterima kasih, tiada sifat bersyukur, mereka kini, sudah menjadi kacang lupakan kulit, malah mahu menumbangkan parti yang pernah memertabatkan mereka.
Kalaulah mereka itu, bukan produk daripada kilang Umno/Bn mereka itu tidak akan menjadi perhatian.
Penulis suka mengulang semula kenyataan mantan Ketua Menteri Sabah- Tan Sri Chong Kah Kiat di Batu Sapi pada Ahad, bahawa mereka-mereka itu, adalah para pemimpin yang tamak dan tidak tahu berterima kasih. Mereka itu, ibarat makan tebu, habis manis sepah dibuang. Mereka itu, tergolong seperti kacang lupakan kulit. Para pemimpin seumpama itu, hanya mempergunakan rakyat untuk kepentingan peribadi.
Calon-calon yang menjadi perhatian semasa PRU kali ini, antara lain, Datuk Shafie Apdal yang bertanding di Parlimen Semporna dan Dun Senallang, Datuk Karim Bujang yang bertanding di Parlimen Kimanis dan Datuk Dr Yusof Yakob yang bertanding di Dun Sindumin, selain Datuk Liew Vui Keong yang bertanding di Parlimen Batu Sapi.
Datuk Shafie seorang mantan pegawai kerajaan, bertapak dalam dunia politik, kerana Umno, demikian juga dengan Yusof Yakob. Manakala Datuk Liew Vui Keong bertapak dalam politik kerana LDP parti terawal menjadi komponen Bn Sabah yang diterajui parti Umno. Sementara Datuk Karim Bujang, mendapat kedudukan dalam politik selain daripada Usno juga daripada Umno.
Sebenarnya mereka itu sudah diberi peluang, malah Shafie Apdal perlu dipecat daripada kabinet, kerana menikam kawan daripada belakang. Manakala Liew Vui Keong, kerana salah sendiri tidak berkhidmat dengan baik kepada pengundi Sandakan, sehinggakan ditolak oleh pengundi Sandakan pada PRU-13. Bagi Karim dan Yusof pula, selepas diberi berbagai jawatan, mereka bersara dalam politik.
Cukup jelas, melihat pada keadaan mereka itu, sebenarnya perjuangan mereka adalah untuk mendapatkan semula kedudukan yang telah hilang. Kerana jawatan yang hilang itu kerana sokongan rakyat, maka, kini mereka kembali kepada rakyat untuk membantu mereka mendapatkan semula kedudukan yang telah hilang.
Kepada rakyat Sabah, para mantan pemimpin Umno/Bn yang cuba kembali, sebenarnya bukanlah untuk membela rakyat dan negeri, akan tetapi lebih kepada kepentingan peribadi.
MR
Comments
Post a Comment