Menjawab Fitnah Pembangkang Sabah

Pada 27 April 2017, Darell Leiking, timbalan presiden Parti Warisan dan beberapa pemimpin parti Warisan telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbentuk tohmahan terhadap kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan berhubung cadangan cuti kebangsaan sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Tohmahan:
Menurutnya, selama tempoh 53 tahun orang asal Kadazandusun Murut merayakan Pesta Kaamatan namun ianya tidak dihormati dan tidak diberi pengiktirafan.

Jawapan:

Di peringkat negeri:
30 dan 31 Mei setiap tahun adalah cuti umum bagi negeri Sabah dan kerajaan menerusi Pejabat Daerah dan KDCA juga menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan di daerah-daerah di seluruh negeri sebagai mengiktiraf pesta yang penting bagi masyarakat KadazanDusun Murut (KDM). Cuti umum Pesta Kaamatan bukan satu isu bagi rakyat di Sabah khasnya kaum KDM, ianya seperti juga cuti umum Pesta Gawai di negeri Sarawak.

Di peringkat kebangsaan:
Perayaan Pesta Kaamatan kini bukan sahaja disambut di Sabah tetapi sudah diraya di beberapa tempat di semenanjung yang mana telah termasuk dalam kalender perayaan rasmi kerajaan. Ianya juga turut diadakan di Lembah Klang dan Johor Bahru bagi membolehkan masyarakat KDM yang berada di Semenanjung Malaysia bersama-sama meraikankan. Pemenang pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau dari cawangan berkenaan bertanding ke peringkat negeri yang diadakan di Hongkod Koisaan Penampang. Dan yang terkini, cadangan sambutan perayaan di cawangan Pulau Pinang juga sudah disampaikan kepada Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan yang dipengerusikan oleh Huguan Siou (Joseph Pairin Kitingan).

Sebenarnya Pesta Kaamatan sudah pun diterima sebagai satu acara kebangsaan dan pernah diadakan sambutan perayaan Pesta Kaamatan peringkat nasional di Kuala Lumpur.

Tohmahan:
Jo-Anna yang juga Naib Ketua Wirawati dan Ikon Belia Warisan menyifatkan kenyataan oleh Pergerakan Pemuda UMNO memperlihatkan bagaimana UMNO sedang memupuk pemikiran di kalangan generasi muda hari ini untuk bersikap rasis. Selain itu, Darell Leiking, Jo-Anna Henly Rampas dan Francis Au (ketua penerangan Wira Sabah, merangkap ketua wira Kota Marudu) bersetuju bahawa cadangan presiden parti Warisan telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin UMNO, lantas mempersoal keikhlasan presiden parti Warisan dalam mengutarakan cadangan ini.

Jawapan:
Masyarakat terutamanya golongan muda perlu tahu bahawa wujudnya sebuah jabatan kerajaan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) yang pada masa ini di letakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.

Peranan utama JPNIN meliputi usaha-usaha untuk:

1. Mendidik masyarakat supaya menghayati dan mencintai perpaduan.

2. Memelihara, mengekal dan meningkatkan perhubungan kaum ke arah perpaduan nasional.
Mewujudkan keharmonian Negara.

3. Menjalankan kajian untuk mengetahui tahap dan iklim perhubungan kaum.

4. Mencadangkan langkah-langkah yang komprehensif dan holistik di dalam mengurus perpaduan Negara dan integrasi nasional.

5. Menyumbang saran pendapat dan idea bagi membantu kerajaan dalam menyatakan pendirian Negara di peringkat antarabangsa khususnya di bawah UNHCR (United Nations Human Rights Council) Racism and Racial Discrimination.

Tujuan utama kerajaan menubuhkan JPNIN adalah untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia. Penubuhan jabatan ini ternyata telah berjaya memainkan peranannya dan membawa impak positif kepada semua lapisan masyarakat di Negara ini tanpa mengira latar belakang etnik, agama, budaya dan bahasa sehingga dapat mengekalkan perpaduan kaum sehingga ke hari ini.

Apa yang menjadi kebimbangan di sini ialah apabila terdapat kecenderungan individu atau mana-mana pertubuhan yang sengaja mengangkat dan memperjuangkan hak dan kepentingan sesuatu kaum tidak kena pada tempatnya yang mana boleh menggugat keharmonian.

Tohmahan:
Shafie Apdal dalam kenyataannya berhubung cadangan tersebut menggesa agar pemimpin politik suku kaum KDM dalam kabinet persekutuan seperti Datuk Seri Maximus Ongkili dan Tan Sri Joseph Kurup supaya menimbulkan perkara itu dengan Perdana Menteri.

Darell Leiking menambah, sepatutnya cadangan ini datang dari UMBO-BN selaku kerajaan hari ini yang sepatutnya telah lama mengiktiraf dan sekaligus menjadikannya sebagai perayaan cuti umum kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia sama seperti perayaan kaum Cina, India dan Melayu. Beliau menegaskan ini bukan bermotif politik .

Jawapan:
Ramai yang tidak tahu bahawa Datuk Shafie Apdal yang pernah memegang portfolio Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang bertanggungjawab terhadap JPNIN.

Mengimbas kembali sejarah dan latar belakang JPNIN, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan sebagai badan pentadbiran Negara pada zaman darurat berikutan dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969. Ekoran dari itu, pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara telah diwujudkan di dalam perintah MAGERAN bagi menangani isu-isu berhubung perpaduan masyarakat dan pembinaan semula Negara yang merupakan matlamat utama pada masa itu.

Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Jabatan Perpaduan Negara telah mengalami banyak transformasi sehingga kini. Pada tahu 1972, Jabatan Perpaduan Negara telah dicantumkan dengan Pejabat Muhibah Negara dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara. Dua tahun kemudiannya iaitu tahun 1974, nama Kementerian Perpaduan Negara ditukar kepada Lembaga Perpaduan Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya pada tahun 1980, Lembaga Perpaduan Negara dicantumkan dengan Urusetia Rukun Tetangga dan dinamakan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tetapi, pada tahun 1983, Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara telah diubah kembali kepada nama asalnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara. Pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Seterusnya, pada 27 Mac 2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional. Pada tahun 2008, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional menjadi sebahagian dari Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Pada 9 April 2009, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah kembali semula di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri dan dikekalkan sehingga kini.

Menteri dan Mantan YB Menteri JPNIN:
Terdapat 11 orang mantan menteri yang pernah bertanggungjawab terhadap JPNIN dan terkini menteri yang bertanggungjawab adalah Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup.

Daripada 12 orang menteri tersebut, lima adalah orang Sabah iaitu Datuk Dr. James P. Ongkili (1983-1986), Encik Kasitah Bin Gaddam (1986-1988), YB Datuk Dr. Maximus J. Ongkili (Mac 2004-Mac 2008), YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal (Mac 2008-April 2009) dan sekarang adalah Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup.

Memang Tidak Salah Shafie Apdal meminta cuti umum kebangsaan untuk Pesta Kaamatan bagi mengangkat martabat pemimpin kaum KDM yang banyak menyumbang kepada negeri sabah pada masa lalu. Persoalannya ialah, kenapa beliau tidak mencadangkan hal ini semasa memegang potfolio Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan?.

Jawapannya mudah, kerana Shafie Apdal dan mantan menteri JPNIN lain (yang berasal dari Sabah) sedar dan faham bahawa kepelbagaian budaya dan agama serta etnik di Sabah dengan nilai perpaduan yang tinggi adalah kekuatan dan kelebihan yang membolehkan wujudnya kestabilan politik dan ekonomi, sekaligus melancarkan lagi proses pembangunan dan kemajuan negeri. Beliau juga tahu bahawa perubahan persekitaran dan budaya yang didorong oleh faktor kepelbagaian dan politik boleh mempengaruhi iklim dan tahap perpaduan masyarakatnya.

Adakah sekarang beliau tidak sedar dan faham akan semua itu? Jika bukan bermotifkan politik bagi meraih sokongan, kenapa baru sekarang cadangan ini muncul di saat komposisi KDM amat diperlukan di dalam menyokong perjuangan parti Warisan.

UNIT PENERANGAN UMNO SABAH
02.05.2017

Comments

Popular posts from this blog

MALAYSIA DAY 2017 MESSAGE BY SABAH CHIEF MINISTER, YANG AMAT BERHORMAT TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, CHIEF MINISTER OF SABAH

Peter Anthony, Shafie & Dana Rm200 juta